Thursday, May 20, 2010

Kehidupan Ibarat Air Hujan

Oleh : Abu al-Harith Muhammad Faiz Fathi bin Asmori

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

إِنَّمَا مَثَلُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنْزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ مِمَّا يَأْكُلُ النَّاسُ وَالْأَنْعَامُ حَتَّى إِذَا أَخَذَتِ الْأَرْضُ زُخْرُفَهَا وَازَّيَّنَتْ وَظَنَّ أَهْلُهَا أَنَّهُمْ قَادِرُونَ عَلَيْهَا أَتَاهَا أَمْرُنَا لَيْلًا أَوْ نَهَارًا فَجَعَلْنَاهَا حَصِيدًا كَأَنْ لَمْ تَغْنَ بِالْأَمْسِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya :

Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dan langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya karena air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-permliknya mengira bahwa mereka pasti menguasasinya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanam-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang berfikir.

(Surah Yunus : Ayat 24)

            Ibn Kathir mensyarahkan di dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir tentang ayat ini, bahawa Allah s.w.t memberikan perumpamaan untuk kehidupan dunia dan perhiasannya, cepatnya ia habis dan hilang, diumpamakan dengan tumbuhan-tumbuhan yang Allah keluarkan dari bumi dengan adanya hujan yang diturunkan dari langit berupa tanaman-tanaman dan buah-buahan yang berbeza-beza jenisnya dan tumbuhan-tumbuhan yang dimakan oleh binatang-binatang ternakan, berupa rumput, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.[1] Perumpamaan yang hampir sama dengan perumpamaan yang terdapat dalam ayat diatas juga ada disebut di dalam ayat lain.

Firman Allah :

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنْزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُقْتَدِرًا 

Yang bermaksud : “Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah, Maha Kuasa atas segala sesuatu.

(Surah al-Kahfi : Ayat 45)

            Pada kedua-dua ayat tersebut, Allah s.w.t membuat perumpamaan kehidupan hidup di dunia seperti air yang diturunkan oleh Allah yakni air hujan. Kemudian air tersebut menyuburkan tanam-tanaman, lalu ia menjadi rosak atau kering kerana ditimpa azab disebabkan oleh cuaca atau lain-lain seperti ditiup angin. Jika diteliti secara keseluruhan kedua-dua mathal ini, ia seolah-olah menunjukan gambaran tentang perjalanan hidup di dunia ini serta betapa singkatnya ia berakhir. Jelaslah kepada kita betapa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja.

            Menurut M. Quraish Shihab di dalam kitab Tafsir al-Misbah tentang ayat 24 surat Yunus ini, disamping ia memberikan perumpamaan bagi kehidupan dunia dari segi keelokan dan kecepatan punahnya melalui sekian banyak hal yang berangkai, ia juga memberi perumpamaan lain dalam penggalan-penggalan rangkaian itu.[2]

            (مَاءٍ أَنزلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ) yang bererti air yang diturunkan dari langit merupakan perumpamaan fasa kehidupan ketika kecil. Hal ini kerana ketika itu, seseorang kanak-kanak dipenuhi oleh aneka harapan indah, tidak ubah seperti harapan seorang petani menunggu turunnya hujan.[3]

Selain itu, ia juga menggambarkan maksud yang lebih dalam lagi iaitu untuk menunjukkan betapa lemahnya kemampuan manusia itu. Kita fahami bahawa air hujan itu diturunkan bukan sahaja untuk menyuburkan tanam-tanaman tetapi ia juga diturunkan agar dapat mencukupkan air yang berada di bumi ini. Hal ini kerana, manusia berusaha untuk menambahkan dan menyukat air yang berada di bumi agar ia tidak kurang. Namun, tanpa disedari air hujan itu diturunkan mengikut ketetapan yang telah Allah s.w.t tetapkan. Manusia tidak berupaya untuk menambahnya dan mengurangkannya walaupun sedikit. Ia juga menunjukkan betapa bijaksana dan teratur segala urusan yang dibuat dengan kehendak Allah s.w.t yang mana ia tidak pernah banjir kerana Allah telah menyediakan tempat takungan air bagi hujan dengan sebaik-baiknya. Ia bersesuaian dengan firman Allah s.w.t :

أَنَّا صَبَبْنَا الْمَاءَ صَبًّا (۲٥) ثُمَّ شَقَقْنَا الْأَرْضَ شَقًّا (۲٦)

Bermaksud : “Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit), kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya.

(Surah ‘Abasa : Ayat 25-26)

            Namun, bencana alam terutama banjir-banjir yang berlaku masa kini di tempat yang turunnya hujan lebat, tidak lain hanyalah disebabkan oleh kerosakkan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri seperti bukit-bukit ditarah, pokok-pokok ditebang dan sebagainya. Hal ini jelas disebut di dalam firman Allah s.w.t :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya : “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

(Surah al-Rum : Ayat 41)

Seterusnya pada ayat (فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الأَرْضِ) bermaksud bercampur air itu dengan tanaman bumi mengisyaratkan fasa kehidupan remaja yang mana pada ketika itu munculnya aneka bentuk cita-cita dan harapan, seperti mana tumbuhnya pelbagai jenis daun-daun dan buah-buahan.[4]

            (مِمَّا يَأْكُلُ النَّاسُ وَالأَنْعَامُ) ialah diantaranya ada yang dimakan oleh manusia dan binatang ternakan yang bermaksud pelbagai aneka dan jenis kenikmatan yang diperolehi dan didambakan oleh manusia dan binatang-binatang yang hidup di dunia ini sesuai dengan tingkatan masing-masing. Sebahagian mereka ada yang mencari dan mendambakan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat sebagaimana layaknya bagi seorang manusia. Sebahagian yang lain pula ada yang mencari perkara-perkara yang remeh dan tidak berguna untuk kehidupan yang sementara ini sebagaimana binatang.[5]

            (حَتَّى إِذَا أَخَذَتِ الأَرْضُ زُخْرُفَهَا وَازَّيَّنَتْ) bermaksud hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) adalah untuk menggambarkan perkara terakhir yang dapat dimanfaatkan oleh manusia dalam kehidupan di dunia ini, serta perlumbaan mereka dalam merebutnya dengan melupakan kemusnahannya.[6]

            Menurut M. Quraish Shihab lagi, ulama memahami ayat ini sebagai berbicara tentang kemajuan yang dicapai umat manusia dalam bidang ilmu dan teknologi. Para pengarang tafsir al-Muntakhab berpendapat bahawa ayat ini menunjukkan manusia mampu menggunakan ilmu pengetahuan untuk kepentingannya dan dengannya ia mampu mewujudkan tujuannya. Namun apabila ia mencapai kesempurnaannya, manusia merasa bahawa dia telah mencapai kemuncak pengetahuan sehingga merasakan mampu melakukan segala sesuatu, maka ketika itu ketentuan Allah akan tiba, dan kemusnahan manusia pun datang.[7]

 

KEHIDUPAN HANYA SEMENTARA

Melalui ayat di atas, kita dapat mengetahui bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah Ta’ala :

وَمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.

(Surah al-Ankabut : Ayat 64)

Selain itu, Allah Ta’ala juga ada menyebut pada ayat lain tentang kehidupan di dunia tidak kekal. Ia hanya sebagai permainan dan hiburan sahaja. Ia akan musnah sepertimana musnahnya tanam-tanaman dan buah-buahan. Kehidupan di dunia merupakan tempat bersenang-lenang bagi orang yang terpedaya, dan bagi mereka yang mengutamakan kehidupan yang sementara ini, maka bagi mereka azab yang pedih. Firman Allah Ta’ala :

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Bermaksud : “Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

(Surah al-Hadid : Ayat 20)

            Kita mengetahui apabila seseorang bermain dan berhibur, ia tidak mengambil masa yang lama. Apabila telah letih dan penat maka seseorang itu akan berhenti bermain dan berhibur. Begitu juga ke atas kehidupan dunia ini. Ia tidak lebih hanyalah sebagai sebuah persinggahan sahaja untuk berteduh bagi seorang musafir. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda :

مَا لِي وَمَا لِلدُّنْيَا مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

Bermaksud : “Apalah ertinya dunia ini bagi diriku. Aku di dunia ini hanyalah seperti orang yang menjelajah yang berteduh di bawah pohon kemudian pergi meninggalkannya.[8]

(Riwayat al-Tirmizi)

            Selain itu, Nabi juga pernah bersabda pada sebuah hadith daripada Ibn Umar r.a :

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

Bermaksud : “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang mengembara.[9]

(Riwayat al-Bukhari)

            Salim Aid al-Hilali menyatakan di dalam kitabnya Bahjatu al-Nazirin yang merupakan kitab syarah kepada kitab Riyadu al-Solihin tentang hadith di atas bahawa janganlah kamu mementingkan dunia, menyibukkan diri dengannya, mengaitkan perasaan dengannya yakni jatuh cinta padanya, sebaliknya jadilah seperti orang asing atau pengembara yang dalam perjalanan ke tempatnya (Syurga). Beliau menyatakan lagi bahawa ia merupakan galakan untuk bersikap zuhud dan berpada dengan apa yang halal sehingga tidak memerlukan lagi pada yang haram.[10]

 

ZUHUD PADA KEHIDUPAN DUNIA

Melalui ayat 24 surah Yunus tersebut, setelah mengetahui tentang betapa hidup di dunia ini hanya sementara. Maka tidak perlulah untuk berlebih-lebihan dalam mengejar kehidupan dunia. Sederhana dalam mencari harta benda merupakan amal perbuatan yang mengamit cinta Allah dan mendatangkan cinta manusia pada seseorang itu. Ia disebut di dalam sebuah hadith daripada Abul cAbbas Sahl bin Sacad al-Sacidy:

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا أَنَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِي اللَّهُ وَأَحَبَّنِي النَّاسُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللَّهُ وَازْهَدْ فِيمَا فِي أَيْدِي النَّاسِ يُحِبُّوكَ

Bermaksud : Telah datang kepada Nabi s.a.w seorang lelaki, maka beliau berkata : “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah aku satu amal perbuatan apabila aku melakukannya maka aku akan dicintai Allah dan dicintai oleh sesama manusia.” Rasulullah s.a.w bersabda : “Zuhudlah kamu (janganlah rakus) terhadap dunia niscaya Allah akan mencintaimu, dan zuhudlah kamu (janganlah rakus) terhadap hak orang lain niscaya manusia akan mencintaimu.[11]

(Riwayat Ibn Majah)

            Selain itu, terdapat juga peringatan agar tidak lalai dan terpedaya dengan kehidupan dunia. Fiman Allah Ta’ala :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُور

Bermaksud : “Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

(Surah Fathir : Ayat 5)

            Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda :

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Bermaksud : “Sesungguhnya dunia ini indah dan mempersonakan, dan sesungguhnya Allah menyerahkan dunia ini kepada kamu sekalian dan Allah akan melihat bagaimana kamu melaksanakannya. Maka takutlah (berhati-hatilah) kamu sekalian dalam masalah dunia, dan takutlah (berhati-hatilah) kamu sekalian terhadap wanita. Dan sesungguhnya fitnah pertama kepada Bani Israil ialah wanita.[12]

(Riwayat Muslim)

 

BERLUMBA-LUMBA DALAM MENGERJAKAN AMAL

Oleh kerana hidup di dunia ini hanya sementara sahaja, maka perlulah bagi seorang muslim untuk memperbanyakkan dan menyegerakan amal-amal ibadah dan memohon keampunan sebelum terlambat agar tergolong dalam golongan orang-orang yang betaqwa dan mendapat habuan Syurga di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t :

 وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Bermaksud : “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

(Surah Ali Imran : Ayat 133)

Selain itu, nabi juga memerintahkan agar segera berbuat kebaikan. Sebuah hadith daripada Abu Hurairah :

 بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا

Bermaksud : “Bersegeralah kamu sekalian melakukan amal-amal kebaikan, kerana akan terjadi suatu bencana yang menyerupai malam yang gelap gelita di mana ada seseorang beriman pada waktu pagi dan pada waktu petang dia kafir, atau pada waktu petang dia beriman pada waktu pagi dia kafir. Dia rela menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.[13]

(Riwayat Muslim)

 

PENUTUP

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja. Maka hiasilah ia dengan perkara-perkara yang menjamin seseorang muslim itu selamat di akhirat kelak. Seseorang muslim itu tidak seharusnya leka, dan tidak seharusnya melupakan tentang tanggungjawabnya diciptakan sebagai hamba Allah yang hidup di muka bumi ini. Sesungguhnya manusia itu diciptakan untuk menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu. Firman Allah s.w.t :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Bermaksud : “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

(Surah al-Zariyat : Ayat 56)

            Maka tambahkan amal-amal kebaikan dan sediakan sebanyak mungkin ibadah yang sahih agar seorang muslim itu terselamat di akhirat kelak yang mana pada ketika itu tidak berguna lagi harta dan anak pinak, melainkan orang yang datang kepada Allah dengan hati yang bersih dari kesyirikan dan kekufuran serta penyakit munafik. Firman Allah s.w.t :

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ )٧٧) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (٧٩)

Bermaksud : “(Iaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.

(Surah al-Syucara : Ayat 88-89)


RUJUKAN

Al-Quran.

Al-Hanbali, Ibn Rajab. 1418H/1998M. Jamicu al-cUlum wa al-Hikam fi Syarh       Khamsin Hadithan min Jawamci al-Kalim. Dar al-Tauzi’ wa al-Nasyr al-          Islamiyyah.

Al-Hilali, Salim Aid. 1425H. Bahjatun al-Nazirin. Jilid 1. Dar Ibn Jauzi.

Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. 2008. Riyadus al-Solihin. Terj. Dr Muslich Shabir.  Jilid 1 & 2. Klang : Klang Book Centre.

Al-Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar. 1420H/2000M. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Jilid 11. Riyadh : Dar al-Salam.

Abu al-cUla Muhammad Abdul Rahman. 1421H/2001M. Tuhfatu al-Ahwazi bi Syarh Jamicu al-Tirmizi. Jilid 6. Kaherah : Dar al-Hadith.

Ibn Kathir. 1429H/2008M. Tafsir Ibn Kathir. Terj. M. Abdul Ghoffar E.M. Jilid 4. Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i.

M. Quraish Shihab. 1423H/2002M. Tafsir al-Misbah: Pesan, Kesan, dan Keserasian al-Quran. Jilid 6. Jakarta : Penerbit Lentera Hati JI.

Muhammad bin Yazid. 1419H/1998M. Sunan Ibn Majah. Jilid 4. Beirut : Dar al-Kutub al-cilmiyyah.

Muslim bin al-Hajjaj. 1418H/1997M. Sahih Muslim. Jilid 1 & Jilid 4. Kaherah : Dar al-Hadith.



[1] Ibn Kathir, 1429H/2008M, hlm. 263.

[2] M. Quraish Shihab, 1423H/2003M, hlm. 57.

[3] M. Quraish Shihab, 1423H/2003M, hlm. 58.

[4] M. Quraish Shihab, 1423H/2003M, hlm. 58.

[5] Ibid, hlm. 58.

[6] Ibid, hlm. 58.

[7] M. Quraish Shihab, 1423H/2003M, hlm. 58-59.

[8] Abu al-cUla Muhammad Abdul Rahman, 1421H/2001M, hlm. 245. Berkata Abu Isa : Hadith ini Hasan Sahih.

[9] Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, 1420H/2000M, hlm. 280. Ianya Sahih.

[10] Salim Aid al-Hilali, 1425H, hlm. 536.

[11] Ibn Majah, 1419H/1998M, hlm. 463. Sanadnya dacif. Dikeluarkan oleh Ibn Majah dari riwayat Khalid bin Amru al-Qursy. Berkata al-Bukhari : Hadith yang dibawa beliau (Khalid bin Amru al-Qursy.) mungkar. Berkata al-Nawawi yang mengambil hadith ini : Ianya diriwayatkan oleh Ibn Majah dengan sanad yang hasan. Namun sanad tersebut boleh dipertikai dan perlu dinilai. Lihat : Ibn Rajab, 1418H/1998M, hlm. 362.

[12] Muslim, 1418H/1997M, Jilid 4, hlm 404. Ianya Sahih.

[13] Muslim, 1418H/1997M, Jilid 1, hlm 116. Ianya Sahih.

Sunday, December 20, 2009

Al-Qaradawi: Tokoh Tajdid

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Kedatangan Dr Yusuf al-Qaradawi ke Malaysia amat dialu-alukan. Walaupun saya tidak sempat mengikuti ucapan beliau pagi semalam yang khabarnya berkaitan buku terbarunya Fiqh al-Jihad, tetapi saya telah pun membeli buku tersebut sejak dua bulan lepas. Buku tersebut merupakan karya terbesar beliau selepas Fiqh al-Zakah.

Saya antara pengkagum Dr Yusuf al-Qaradawi. Bukan kerana namanya, tetapi kerana kesarjanaannya. Buku-bukunya mempunyai nilai analisis dan kebebasan akal dari sebarang fanatik mazhab. Beliau adalah tokoh tajdid yang menyeru kepada keluasan fekah dan kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh kepada penilaian setiap pendapat dengan adil berteraskan al-Quran dan a-Sunnah.

Dalam buku terbarunya itu beliau menyebut tentang kaedah dalam penulisannya:

“Mengambil manfaat dari khazanah fekah islami dan mengiktiraf lautannya yang luas dengan tidak cenderung kepada hanya satu mazhab tanpa melihat mazhab yang lain, atau terikat dengan satu imam tanpa melihat imam yang lain.

Bahkan kita menganggap peninggalan besar ini (khazanah fekah) milik setiap pengkaji untuk dia menyelami dasarnya, membongkar simpanannya, menggali setiap penjurunya, membandingkan antara satu pendapat dengan pendapat yang lain, satu dalil dengan dalil yang lain tanpa taksub kepada satu pandangan atau taklid berterusan kepada satu mazhab.

Bahkan kadang-kala kita mengambil pendapat Abu Hanifah, kemudian pendapat Malik, kemudian pendapat Syafii, kemudian pendapat Ahmad, kemudian pendapat Daud (maksudnya Daud al-Zahiri-pen). Bahkan mungkin dalam beberapa perkara kecil kita keluar dari mazhab sunni kepada mazhab Zaidiyyah, ataupun Ja’fariyyah ataupun Ibadiyyah jika kita dapati penyelesaian masalah dalamnya.

Mungkin juga kita akan mengambil sebahagian pendapat mazhab yang hilang seperti Mazhab al-Auza’i, Mazhab al-Thauri dan Mazhab al-Tabari. Bahkan kita kadang kala akan keluar dari kesemua mazhab itu pergi ke dataran luas fekah para sahabat Nabi s.a.w, tabi’iin, dan atba’ al-tabi’in yang mana mereka ini tiada mempunyai sebarang mazhab yang diikuti. Mereka seperti al-Khulafa al-Rasyidin, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, ‘Aishah, Mu’adz, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan para sahabat r.ahum yang lain.

Demikian juga murid-murid mereka seperti mereka yang dikenali sebagai fuqaha (ahli fekah) yang tujuh di Madinah, juga selain mereka di Mekah, Kufah, Basrah, Mesir, Syam dan wilayah-wilayah yang lain yang para sahabah dan murid-murid mereka bertebaran. Antaranya; Sa’id bin al-Musayyib, Sa’id bin Jubair, ‘Ikrimah, Mujahid, Ata`, Tawus, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, ‘Alqamah, al-Aswad, Masruq, al-Nakha’i, al-Laith bin Sa’d dan selain mereka…” (Fiqh al-Jihad, 1/24, Kaherah: Maktab Wahbah).

Saya fikir jika ada orang yang ingin berpegang dengan keluasan mazhab atau intelektualisma yang seperti itu di Malaysia tentu akan ada yang menuduh ini puak ‘derhaka mazhab’, tidak beradab dengan jasa orang-orang lama kita, keluar mazhab Syafi’i, rasa terlalu pandai dan berbagai lagi. Bahkan lebih trajik; wahabi dan sesat.

Sebab itulah barangkali pandangan-pandangan agama kita membeku dan generasi baru tidak dapat melihat keluasan Islam akibat kesempitan jendela fikir kita. Kita kononnya ini menghormati khazanah agama di Tanah Melayu sehingga kita melarang orang lain meneliti pandangan luar mazhab, padahal kita lupa tindakan seperti itu menyebabkan kita menyisihkan sekian banyak khazanah kesarjanaan dari berbagai-bagai aliran pemikiran dalam umat ini. Bukan salah bermazhab, tetapi salahnya itu fanatik mazhab sehingga menganggap setiap yang luar itu salah dan enggan menilai lagi pendapat yang dipakai hanya kerana ‘ini mazhab kita!!’.

Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi ketika memperkatakan tentang Manhaj Mu’asir li al-Fatwa (Kaedah Semasa Dalam Fatwa) menyebut perkara pertama adalah “Membebaskan diri dari fanatik dan taklid”. Beliau menyebut:

Pertama, membebaskan diri dari fanatik mazhab dan mengikut secara buta tuli kepada si fulan dan si fulan, samada dia dalam kalangan ulama terdahulu atau kemudian“. Dikatakan “ tidak bertaklid itu melainkan seorang fanatik atau dungu”.

Aku tidak rela untuk diriku salah satu dari sifat tersebut. Membebaskan diri dari fanatik mazhab itulah sebenarnya merupakan penghormatan yang sepenuhnya kepada para imam dan fakih (ahli fekah). Tidak bertaklid kepada mereka bukanlah merendahkan kedudukan mereka, sebaliknya itulah yang menepati jalan mereka, juga melaksanakan wasiat mereka agar tidak bertaklid kepada mereka.

Kita mengambil agama dari sumber yang mereka ambil (al-Quran dan al-Sunnah). Juga tidak bertalkid kepada mereka bukanlah bererti mengabaikan fekah dan warisan mereka. Sebaliknya, sewajarnya merujuk dan mengambil faedah daripadanya, dari pelbagai aliran tanpa berat sebelah ataupun fanatik. Pendirian seperti ini tidak mensyaratkan seorang sarjana muslim yang berdikari kefahamannya itu mesti sampai ke peringkat ijtihad mutlak seperti para imam yang terdahulu.” ( al-Qaradawi, al-Fatwa bain al-Indibad wa al-Tasaiyub, m.s 101, Beirut: al-Maktab al-Islami).

Ungkapan kemerdekaan ilmu dan kebebasan diri dari kongkongan taksub amat dimusuhi oleh sesetengah pihak. Oleh kerana sejak sekian lama mereka dipayung oleh rasa fanatik lalu mereka tidak akan bertanya atau mempersoalkan lagi apa yang dilontarkan oleh guru mereka sehingga pemikiran agama menjadi longlai dan dihakiskan oleh cabaran zaman.

Namun kelompok agama ini tetap ingin mewarisi takhta ‘empayar agama’ yang tokoh-tokohnya tidak boleh dipersoal, atau pandangan mereka dibincang semula, maka mereka pun mengeluarkan fatwa ‘siapa keluar mazhab dia sesat’, atau ‘siapa banyak tanya atau mengkritik pandangan kita atau kebiasaan kita dia biadap’, bahkan siapa yang cuba memahami Islam di luar dari yang kita terangkan maka ‘dia sesat dan terkeluar dari Ahlus Sunnah’.

Seakan bagi mereka ini para sarjana Islam dari mazhab-mazhab yang lain kesemuanya sesat dan bukan Ahlus Sunnah sehingga kita dilarang memahami dan berpegang dengan kajian mereka! Hal ini bertambah buruk apabila aliran tarekat turut berkembang dalam negara kita kebelakangan ini. Ramai dalam kalangan tarekat yang memegang tradisi ‘jangan tanya, ikut saja’ amat marah melihat gerakan pembaharuan yang meminta agar fungsi akal dihidupkan dalam mengikuti agama ini. Islam adalah agama fitrah dan waras. Akal mempunyai kedudukan yang penting dalam Islam sehingga orang gila atau belum sempurna akalnya tidak diletakkan atas neraca dosa dan pahala.

Ibn Taimiyyah

Walaupun al-Qaradawi tidak fanatik kepada mana-mana tokoh, namun ini bukan bererti tiada tokoh kesayangan atau tokoh yang beliau kagumi. Dr al-Qaradawi pernah menyebut

Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, m.s. 170, Mesir: Dar al-Wafa).

Hampir kesemua buku-buku Dr al-Qaradawi dipenuhi nukilan dari Syeikhul Islam Taimiyyah (meninggal 728H) dan muridnya al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H). Ini kerana dua tokoh agung ini terkenal dengan usaha tajdid membangunkan semula umat dan membebaskan mereka dari daerah fanatik, jumud dan ‘malas berfikir’.

Kata al-Qaradawi dalam al-Thaqafah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah:

“Ibn Taimiyyah dan institusinya adalah salafis. Mereka itu benar-benar tokoh tajdid (revival). Tiada seorang pun yang cuba menafikan pemikiran tajdid mereka, melainkan dia seorang yang keras kepala.” (m.s 59, Kaherah: Maktab Wahbah).

Golongan fanatik mazhab seperti Ahbash membantah beliau kerana suka merujuk kepada Ibn Taimiyyah. Kata al-Qaradawi: “Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, kerana seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”.

Di Malaysia, kelompok anti-Ibn Taimiyyah bersarang di sesetengah pondok, jabatan agama dan beberapa institusi yang lain. Ada yang keluar dalam TV dan akhbar menyesatkan Ibn Taimiyyah, bahkan mengkafirkannya. Jika mereka baca karya al-Qaradawi tentu tuduhan yang sama akan dikenakan kepada beliau.

Maka al-Qaradawi juga tidak terlepas dari berbagai tohmahan. Beliau pernah dituduh sebagai liberalis, wahabis dan berbagai lagi. Tuduhan itu datang dari berbagai, samada kelompok fanatik mazhab, fanatik tarekat, juga yang aliran salafi jalur keras yang jumud. Bahkan ada buku yang melebelnya sebagai ‘anjing yang menyalak’.

Dalam masa yang sama Barat juga melancarkan permusuhan dengan beliau. Ini kerana beliau bekerja untuk Islam, menulis, berceramah dan merancang. Sebelum al-Qaradawi menjadi ‘gergasi’ dengan nama yang besar seperti sekarang, beliau juga pernah memasuki penjara. Bahkan ketika ini pun ada negeri yang tidak membenarkan beliau masuk. Demikian hari-hari yang mesti dilalui dalam melakukan agenda dakwah dan pembaharuan. Seorang tokoh itu tetap tokoh dan akan ada yang membelanya.

Thursday, November 5, 2009

Wahabi: Istilah Yang Ditakuti!

Antara ketakutan dalam diri manusia adalah apabila dia diberikan suatu gelaran yang membawa maksud yang buruk dalam masyarakat, ‘Wahabi’ merupakan contoh gelaran yang ditakuti apabila seseorang itu berada di dalam lapangan agama. Masyarakat Islam di Malaysia secara umumnya memahami istilah Wahabi ini merujuk kepada seg...elintir golongan umat Islam yang mempunyai tafsiran dan pemahaman yang berbeza mengenai soal ibadat. Contohnya, apabila seseorang itu tidak membaca doa Qunut ketika solat subuh, maka dia akan dituduh sebagai penganut fahaman Wahabi. Begitu juga jika seseorang itu menolak mengadakan majlis kenduri arwah, maka dia juga akan dituduh sebagai Wahabi. Secara ringkasnya, apa sahaja pandangan atau pendapat yang melawan arus pemikiran perdana umat islam di Malaysia, maka berkemungkinan besar si pembawa idea atau pendapat itu akan digelarkan sebagai Wahabi. Persepsi ini merupakan satu stigma pemikiran yang yang telah lama mendominasi pemikiran tradisionalis umat Islam di Malaysia. Penulisan ringkas ini tidak menjuruskan benar atau salah fahaman ini, namun sekadar santapan ringkas agar ilmu dan pemahaman dapat diluaskan. Gelaran Wahabi sebenarnya disandarkan kepada seorang tokoh agama yang bernama Muhammad Ibn Abdul Wahab. Di zamannya, Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab merupakan seorang yang tegas dalam membersihkan akidah umat islam yang mana ketika itu dicemari dengan pelbagai unsur-unsur inovasi dalam agama seperti pemujaan kubur alim ulama’ dan pembinaan di atas kuburan. Kebanyakan tanggapan mendakwa fahaman ini mendukung idea dan perjuangan Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab dalam membersihkan akidah umat Islam. Sewajarnya, jika gelaran wahabi ingin disandarkan kepada Sheikh ini, ia sepatutnya menggunakan gelaran ‘Muhammadiyyah’. Namun musuh-musuh Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab sengaja menggunakan istilah Wahabi untuk mengaitkan diri Sheikh itu dengan fahaman Khawarij yang mendakwa orang Islam sebagai murtad jika melakukan dosa. Namun hal ini telah dinafikan olehnya dalam surat yang ditulis kepada penduduk Qassim, ‘saya tidak pandang mana-mana orang Islam sebagai kafir kerana dosa mereka, dan saya juga tidak mengeluarkannya dari agama Islam.’ (ruj: Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life & The Essence of His Call, Prof Sulaiman Ibn Abdurrahman Al-Huqaily, edisi terjemahan oleh Hamidun Abdullah untuk Institute As-Sunnah, Perlis) Sebenarnya, terdapat banyak tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada tokoh ini sehingga menjadikan gelaran Wahabi sebagai satu istilah yang ditakuti, namun kebanyakkan tuduhan itu telah pun dijawab dengan ilmiah. Walaupun berlaku banyak fitnah terhadap dirinya, namun sumbangan besarnya dalam bidang akidah tetap dihargai oleh ramai ulama’ dunia seperti Dr Yusuf Al-Qardhawi, Sayyid Muhammad Rashid Ridha, Sheikh Ali Tantawi dan lain-lain ulama’ besar dunia. Memetik kata-kata Al-Qardhawi ‘Prioritas dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mempraktekkannya dalam rangka menghancurkan berbagai fenomena kemusyrikan.’ (ruj: Fiqh Aulawiyyat, Dr Yusuf Al-Qardhawi) Realiti yang berlaku di dunia Islam, kebanyakkan pemikiran tradisionalis menganggap fahaman Wahabi ini sebagai unsur yang menyimpang di dalam Islam. Dukacita juga sebahagian dari mereka meletakkan fahaman ini sebagai terkeluar daripada Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Majoriti yang menjadi pemikir seperti ini hanyalah merupakan mangsa kepada keadaan yang telah membutakan mereka kepada kefahaman yang rigid. Mereka menganggap, apa sahaja yang bercanggah dengan nilai mazhab Syafie mengikut kefahaman mereka, nilai itu akan dianggap sebagai tertolak walaupun ia masih berlegar dalam ruang ASWJ. Oleh itu, sebarang usaha tajdid untuk memberikan satu sudut pandang yang berbeza terhadap Islam, maka kadangkala ia akan ditolak secara mentah dengan beralasan pandangan itu sebagai pegangan fahaman Wahabi. Al-Qardhawi mengulas mengenai isu takut kepada usaha tajdid, katanya ‘Inilah satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak senang pada pembaharuan (tajdid), tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak menyenangi perkembangan dan perubahan.’ (ruj: Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa kini, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi) Di Malaysia, golongan yang mendukung fahaman Wahabi ini lebih gemar jika ia digelarkan sebagai Salafi, Pro-tajdid atau pendukung Sunnah. Mereka ingin membawa satu kaca mata yang lebih besar terhadap fahaman ini dengan menekankan pemahaman Islam menurut manhaj para Salaf. Al-Salaf memiliki erti orang-orang yang mendahului dari bapak-bapakmu dan kaum kerabatmu yang mereka di atasmu dalam hal usia dan keutamaan..... Rasulullah, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka adalah salaful ummah (pendahulu ummat), dan siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka juga salaful ummah. Serta siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka mereka berada si atas manhaj as-Salaf ash-Sholih. (ruj: Studi Ringkas Tentang Manhaj Salaf, Sheikh Abdul Qadir Al-Arna’uth) Manhaj ini menurut mereka tidak membataskan pemikiran dengan lingkungan mazhab semata, tetapi keluasan pemikiran berpandungan Quran dan As-Sunnah yang soheh. Oleh sebab itu, masyarakat Islam tradisionalis menganggap mereka sebagai bermasalah apabila ada ibadah atau adat yang ditentang oleh pendukung fahaman ini kerana menurut mereka tidak menurut syariat Islam yang sebenar. Hal ini telah menyebabkan berlakulah pertempuran yang berlarutan sekian lama yang mungkin dikenali di Malaysia sebagai ‘kaum muda vs kaum tua’. Namun begitu, fahaman Salafi di Malaysia masih boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan menurut pengamatan Ustaz Zaharuddin. Kumpulan pertama ialah yang ekstrem lagi keras dan tegas, kedua pula yang Sederhana (moderate), manakala Ketiga iaitu yang lebih lembut dan toleran (Mild). (ruj: Ulasan, Komentar & Cadangan Berkenaan Kursus Latihan ESQ 165, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman) Mungkin pendekatan kumpulan pertama iaitu yang bersifat sedikit keras dan ekstrem telah menimbulkan rasa kurang senang dan terkejut masyarakat Islam di Malaysia yang mana rata-rata pemahamannya mengenai ilmu Islam hanyalah pada peringkat asas. Pendekatan bagi kumpulan dua dan tiga kelihatan agak berjaya apabila dapat mempengaruhi sebahagian besar golongan pelajar di universiti dan pekerja profesional. Perkembangan aliran Salaf ini mendapat tentangan agak hebat daripada golongan yang memegang kuasa agama apabila terdapat beberapa tokoh yang didakwa mendukung fahaman Wahabi dilarang memberikan ceramah dibeberapa buah negeri. Terdapat juga pelbagai forum yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu yang mana bertujuan menerangkan tentang bahaya pemikiran Wahabi yang semakin menular di dalam Malaysia. Isu wahabi sebenarnya merupakan masalah persepsi umat Islam yang mana telah digambarkan dengan pelbagai fakta yang dangkal dan tidak benar mengenai fahaman ini. Umat islam di Malaysia perlu diberikan ruang kepada pemikiran yang lebih luas terhadap Islam. Jika suatu pemikiran itu dangkal dan tidak benar, secara automatis pemikiran itu akan berkubur dan tidak mendapat tempat. Masyarakat Islam semakin bijak dalam penilaian, berikan mereka ruang untuk menilai setiap hujah dan fakta mengenai agamanya. Perkara yang terpenting dalam hal ini, kita sewajarnya tidak sesekali mengeluarkan mereka daripada keluarga Islam ASWJ. ‘Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah. Mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama seperti sebahagian mereka.....’ (ruj: Isu Wahabiyyah: Menangani Secara Realiti, Jurnal Penyelidikan Islam bil 19 2006M, Mohd Aizam bin Mas’od, JAKIM) Oleh: Ajim http://www.ajimtajdid.blogspot.com

Wednesday, April 15, 2009

10 amalan yang terbalik..


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makankenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam.
Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."
(Riwayat Bukhari)

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda SAW ditolak oleh golongan-golongan Pembesar Quraisy. Mereka juga telah menawarkan tawaran yang begitu lumayan kepada Baginda SAW supaya tidak lagi meneruskan perjuangannya untuk menyampaikan kebenaran. Mereka begitu takut sekiranya pengaruh dan kepentingan mereka terhakis disebabkan kewujudan Islam yang bercanggah dengan amalan jahiliyyah mereka selama ini.

Selain itu, mereka juga mengancam keselamatan Nabi Muhammad SAW sekiranya Baginda masih meneruskan perjuangannya tersebut. Namun, ia langsung tidak dihiraukan oleh Baginda SAW kerana harta dunia akan lenyap, sedangkan agama itu akan terus hidup dan berkembang. Dakwah yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada pembesar Quraisy dengan pelbagai cara untuk memahamkan mereka.

Namun, apa yang terjadi ialah kedegilan mereka untuk menerima Islam. Mereka sudah pun memahami bahawa Nabi Muhammad SAW membawa satu kebenaran yang nyata dan jelas, namun mereka masih menolaknya kerana kedegilan mereka, dan kepentingan mereka. Mereka khuatir sekiranya mereka mengikut Nabi Muhammad SAW, segala kemewahan yang mereka miliki akan hilang, pangkat kebesaran mereka akan tercabut dan pengaruh mereka akan luput.

Begitulah apa yang terjadi hari ini, kebenaran itu sudah jelas nyata di hadapan mata. Tetapi Islam masih ditolak kerana kedegilan manusia hari ini, sama seperti pembesar-pembesar jahiliyyah ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka sudah pun tahu bahawa tindakan mereka adalah salah, namun, demi kepentingan, mereka sanggup untuk berpijak di atas kejahiliyyahan.

Demi menjaga kedudukan, mereka sanggup melakukan apa sahaja, tidak kira halal atau haram seperti rasuah, melanggar undang-undang, membuat kerosakan dan sebagainya. Begitu juga harta yang mereka sayangi. Mereka tidak sanggup kehilangan harta sekiranya mengikut kebenaran yang jelas ini. Mereka juga khuatir pengaruh mereka yang selama ini mereka bentuk di atas jalan yang bersifat kepentingan, akan hilang begitu sahaja kerana berada di jalan yang benar.

Sekiranya Nabi Muhammad SAW ditawarkan dengan kekayaan yang tiada bandingannya, hari ini pejuang-pejuang Islam yang mewarisi perjuangan Nabi SAW turut ditawarkan dengan jutaan ringgit sebagai rasuah, untuk menggagalkan misi perjuangan mereka. Maka, siapakah dia Abu Jahal dan Abu Lahab pada hari ini?

Golongan-golongan pembesar di zaman Nabi SAW berdegil untuk mempertahankan kedudukannya, walaupun kebenaran itu jelas nyata di hadapan mata mereka. Mereka mempertahankannya juga walaupun terpaksa melakukan apa sahaja, asalkan kepentingan yang mereka canang, berhasil.

Mereka juga sanggup menipu, merampas hak orang lain dan sebagainya, asalkan kedudukan mereka berkekalan. Atau dengan kata lain, asalkan duit masuk poket. Inilah apa yang terjadi hari ini. Siapakah yang menzalimi diri mereka kalau bukan diri mereka sendiri? Mereka sengaja berdegil daripada menerima kebenaran. Sengaja menutup telinga dan mata mereka daripada mendengar kebenaran yang sudah jelas nyata.

Salam Perjuangan,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...