Tuesday, February 15, 2011

Tiga Kurun Terbaik


Oleh : Abu al-Harith Muhammad Faiz Fathi Bin Asmori


خير القرون قرن الرسول عليه السلام ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم تنتشر المفاسد

SEBAIK-BAIK KURUN ADALAH KURUN RASULULLAH 'ALAIHI SALAM, KEMUDIAN YANG MENGIKUTI SELEPAS MEREKA, KEMUDIAN YANG MENGIKUTI SELEPAS MEREKA, KEMUDIAN TERSEBARNYA KEROSAKAN.

أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي جَمْرَةَ سَمِعْتُ زَهْدَمَ بْنَ مُضَرِّبٍ سَمِعْتُ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ قَالَ عِمْرَانُ : فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ إِنَّ بَعْدَكُمْ قَوْمًا يَشْهَدُونَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُونَ وَيَخُونُونَ وَلاَ يُؤْتَمَنُونَ وَيَنْذُرُونَ وَلاَ يَفُونَ وَيَظْهَرُ فِيهِمْ السِّمَنُ[1]

Maksudnya :

Syu'bah telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Abu Jamrah, aku mendengar daripada Zahdam bin Mudarrib, aku mendengar daripada 'Imran bin Husain r.anhuma, dia berkata : “Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka.Imran berkata :”Aku tidak tahu samaada disebut selepas kurunnya dua kurun atau tiga kurun. Kemudian sesungguhnya selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji dan tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman.

(Riwayat al-Bukhari)

Manakala di dalam riwayat Muslim pula :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ[2]

Maksudnya :

Daripada Abdullah, beliau berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka, selepas itu akan datang satu kaum di mana penyaksian salah seorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya.

(Riwayat Muslim)

Hadith di atas merupakan sebuah hadith yang menceritakan tentang kelebihan para sahabat dan kelebihan dua generasi selepas mereka yang mengikuti mereka. Mereka merupakan umat manusia terbaik yang diperakui sendiri oleh Nabi Muhammad tentang kebaikan mereka. Dan kebaikan yang diperakui di dalam hadith tersebut merupakan kebaikan dari segi pegangan aqidah, kefahaman dan amalan agama mereka yang betul, dan bukan kebaikan dari segi perkara keduniaan yang berkaitan dengan kemewahan,kebendaan dan sebagainya.[3]

Menurut Ibn Hajar, umat terbaik pada kurun baginda ialah para sahabat, kemudian yang mengikuti mereka merupakan para tabi’ dan yang mengikuti para tabi ialah para tabi’ tabi’in.[4]

Kemudian, selepas baginda s.a.w menyebut berkaitan umat terbaik, lalu baginda menyebut pula kerosakkan-kerosakkan yang akan berlaku selepas tiga zaman tersebut, antaranya ialah :

Sebuah kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji dan tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman.

Manakala dalam hadith riwayat Muslim pula, Nabi s.a.w menyebut terdapat satu kaum yang mana penyaksian salah seorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya.

Pengajarannya :

  • Perakuan oleh Nabi s.a.w tentang kebaikan para sahabat, para tabi'in, dan tabi' tabi'in.
  • Perkhabaran dari Rasulullah tentang kerosakan umat selepas 3 kurun tersebut.
  • Hadith ini juga menunjukkan dalil sekiranya berlaku perpecahan, kembali merujuk kepada manhaj salaf. Sepertimana dalam hadith lain:

(( أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ )). [5]

Maksudnya :

Aku wasiatkan kepada kamu sekalian untuk bertaqwa kepada Allah dan sentiasa dengar dan taat walaupun yang memimpin kalian adalah seorang hamba habshi, maka sesungguhnya barangsiapa yang hidup dikalangan kamu sekalian selepasku nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak, maka ke atas kamu sekalian dengan sunnahku dan sunnah pemerintahan yang mendapat hidayah lagi bijaksana, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu semua, dan jauhilah perkara-perkara baru yang diada-adakan kerana sesungguhnya setiap perkara-perkara baru tersebut merupakan bid"ah, dan setiap yang bid"ah itu sesat.”

(Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dalam firman Allah s.w.t :

وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (100)[6]

Maksudnya :

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

  • Baginda menyebutkan bahawa selepas kurun tabi' tabi'in akan ada satu kaum yang mana mereka bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mengkhianati dan tidak dipercayai, dan mereka berjanji tetapi tidak ditepati. Sebagaimana juga yang disebut di dalam hadith lain :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّة[7]

Maksudnya :

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu-daya. Ketika itu golongan benar dikatakan pembohong dan golongan pembohong dikatakan benar. Orang yang khianat dipercayai dan orang-orang yang benar dikhianati dan para ruwaibidhah akan menjadi jurucakapnya”. Sahabat bertanya: Siapa itu ruwaibidhah? Sabda Baginda: “Orang yang bodoh dalam urusan orang-ramai

(Riwayat Ibn Majah)


[1] Al-Bukhari, 1417H/1997M, Jil. 3, (62)-Kitab Fadail al-Sahabah, Bab 1, no. 3650 hlm. 1123.

[2] Muslim, 1418H/1997M, Jil. 4, (44)-Kitab Fadail al-Sahabah, Bab 52, no. 210 (2533), hlm. 268.

[3] Dr. Azwira, t.th, hlm. 59.

[4] Ibn Hajar, 2006M, Jil. 18, hlm. 370-372.

[5] Abu Daud, 1419H/1998M, 34-Kitab al-Sunnah, 6-Bab fi Luzum al-Sunnah, no. 4607, hlm. 699. Menurut al-Albani hadith ini Sahih. Rujuk Sunan Abu Daud, t.th, hlm. 691.

[6] Al-Taubat 9: 100

[7] Ibn Majah, 1422H/2001M, Kitab al-Fitan, Bab Shiddatu al-Zaman, no. 4036. hlm. 611. Menurut al-Albani hadith ini Sahih. Rujuk Sunan Ibn Majah, t.th, no. 4036. hlm. 667.

Monday, February 14, 2011

TATACARA TURUN KETIKA HENDAK SUJUD

Oleh : Abu al-Harith Muhammad Faiz Fathi Bin Asmori

1. HADITH-HADITH YANG SALING BERCANGGAH

Berkaitan hal ini terdapat hadith-hadith yang saling bercanggah, satu hadith menyatakan turun ketika hendak sujud didahului dengan lutut sebelum tangan dan satu lagi hadith menyatakan turun ketika hendak sujud didahului dengan tangan sebelum lutut. Hadith-hadith tersebut ialah :

Hadith 1 :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( إِذَا سَجَدَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَبْرُكْ كَمَا يَبْرُكُ الْبَعِيرُ وَلْيَضَعْ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ )) .

Daripada Abu Hurairah berkata : Bersabda Rasulullah saw : “Apabila seseorang diantara kamu semua hendak sujud, maka janganlah dia turun seperti seekor unta turun untuk duduk. Dan hendaklah dia meletakkan kedua-dua tangannya sebelum kedua-dua lututnya”.[1]

(Riwayat Abu Daud)

Hadith 2 :

عَنْ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ قَال : (( رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَجَدَ وَضَعَ رُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ وَإِذَا نَهَضَ رَفَعَ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ )) .

Daripada Wail Bin Hujr berkata : “Aku melihat Nabi saw ketika Baginda sujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya sebelum kedua-dua tangannya, dan apabila Baginda berdiri, Baginda mengangkat kedua-dua tangannya sebelum kedua-dua lututnya”.[2]

(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

2. HURAIAN HADITH

Hadith (1) menerangkan kepada kita bahawa Nabi saw melarang umatnya untuk turun ketika sujud menyerupai unta ketika mana unta itu turun untuk duduk serta Nabi memberitahu bagaimana cara untuk turun sujud. Manakala hadith (2) pula merupakan athar daripada sahabat yang menunjukkan cara Nabi saw turun untuk sujud.

Oleh itu, untuk menyelesaikan percanggahan hadith-hadith ini, maka perlulah untuk diteliti dua perkara ini iaitu :

  1. Status hadith-hadith yang saling bercanggah.
  2. Bagaimana cara unta turun untuk duduk.

2.1 Status Hadith-Hadith Yang Saling Bercanggah

Untuk meneliti status hadith (1) ini, maka hendaklah dilihat tariq sanad yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud. Yang mana Abu Daud telah mengambil hadith ini daripada Sacid Bin Mansur, daripada cAbd al-Aziz Bin Muhammad, daripada Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan, daripada Abu al-Zinad, daripada al-Acraj, daripada Abu Hurairah.[3]

Menurut al-Albani, sanad hadith ini sahih. Para perawinya thiqah dan merupakan perawi yang digunakan oleh Muslim, kecuali kepada perawi Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan, kerana dia macruf dengan hadith-hadith tentang tazkiyah al-nafs, dan dia juga merupakan seorang al-Alawi (Ahli al-Bait).[4] Namun menurut al-Hafiz Ibn Hajr dia merupakan perawi yang thiqah juga dan merupakan dikalangan Kibar Atbac al-Tabicin.[5]

Namun begitu, dia tetap tidak terlepas daripada perbahasan sebahagian ulama kerana mereka menyatakan didalam hadith ini terdapat 3 cillah, iaitu[6] :

  1. Al-Daruqutni berkata bahawa riwayat al-Darawardi (cAbd al-Aziz) pada hadith tersebut gharib[7] daripada Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan.[8]
  2. Riwayat Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan yang ada pada sanad ini juga gharib daripada Abu al-Zinad.
  3. Kata-kata daripada al-Bukhari : “Saya tidak mengetahui apakah Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan mendengar dari Abu al-Zinad atau tidak.[9]

Al-Albani telah menjawab dengan mengatakan bahawa cillah yang pertama dan yang kedua tidak mencacatkan kesahihan hadith ini kerana kedua-dua perawi iaitu cAbd al-Aziz Bin Muhammad dan Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan merupakan perawi yang thiqah.

Manakala untuk cillah yang ketiga pula, ini disebabkan kerana ia merupakan kaedah khusus al-Bukhari itu sendiri dalam meriwayatkan hadith iaitu Macrifah al-Liqac[10], yang mana kebanyakkan ulama hadith lain tidak meletakkan syarat tersebut. Mereka hanya cukup sekadar bertemu sekiranya kedua-dua perawi tersebut sezaman dan aman dari sifat tadlis. Dan Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan memenuhi syarat tersebut.[11]

Dan sebenarnya terdapat juga hadith lain yang juga sahih yang menjadi mutabacah terhadap hadith di atas serta menjadi bukti bahawa cAbd al-Aziz tidak gharib dalam periwayatannya iaitu :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَيَبْرُكُ كَمَا يَبْرُكُ الْجَمَلُ )) .

Daripada Abu Hurairah berkata : Bersabda Rasulullah saw : “Turunnya seseorang diantara kamu dalam solatnya dengan lutut, maka dia turun sepertimana turunnya unta ketika hendak duduk.[12]

(Riwayat Abu Daud)

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Qutaibah Bin Sacid, daripada cAbdullah Bin Nafic, daripada Muhammad Bin cAbdullah Bin Hasan dengan sanad yang sama seperti hadith (1). Perawi-perawi yang terdapat didalam hadith ini juga thiqah.[13]

Manakala untuk hadith (2) pula, Abu Daud telah mengambil daripada al-Hasan Bin cAli dan Husain Bin cIsa, kedua-duanya daripada Yazid Bin Harun, daripada Syarik, daripada cAsim Bin Kulaib, daripada bapanya (Kulaib), daripada Wail Bin Hujr. Sanad hadith ini dacif. Namun para ulama hadith berselisih dalam hadith ini kerana al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini hasan gharib. Manakala al-Hakim menyatakan bahawa Muslim menjadikan Syarik sebagai hujah[14], dan telah dipersetujui oleh al-Zahabi.

Al-Albani menyatakan bahawa Syarik sama sekali tidak dijadikan hujah oleh Muslim. Hal ini kerana Muslim hanya meriwayatkan hadith Syarik sebagai mutabacah sahaja. Ia juga telah ditegaskan oleh beberapa peneliti hadith yang lain yang mana di antara mereka ialah al-Zahabi sendiri di dalam kitabnya al-Mizan. Perkara ini sering menyebabkan al-Hakim tergelincir pada kekeliruan ini, kerana beliau seorang yang mutasahil[15] yang mana pada akhirnya al-Hakim mensahihkan setiap hadith yang diriwayatkan oleh Syarik, yang juga turut diikuti oleh al-Zahabi. Ibn Hajar telah menyebutkan di dalam kitabnya Lisan al-Mizan, Syarik merupakan perawi yang sudduq[16], mempunyai kesalahan yang banyak, dan berubah-ubah daya hafalannya.[17]

Adapun al-Daruqutni berkata : “Hadith ini telah diriwayatkan secara gharib oleh Yazid Bin Harun daripada Syarik, dan tiada seorang pun yang menceritakan hadith ini daripada cAsim Bin Kulaib melainkan hanya Syarik, sedangkan Syarik bukanlah seorang perawi yang kuat, apabila periwayatannya gharib.”

Maka disebabkan inilah al-Albani mendacifkan hadith ini, kerana apabila Syarik gharib dalam periwayatannya, maka ia tidak boleh dijadikan hujah, lebih-lebih lagi jika dia menyalahi perawi-perawi thiqah yang lain.[18]

Kesimpulannya, atas perbincangan dan kajian yang telah dibuat, maka hadith (2) tidak dapat dijadikan hujah atau dalil dalam penentuan hukum.

Namun, andai kata hadith (2) tetap ingin diterima statusnya sebagai hadith hasan. Maka di dalam ilmu Muktalif al-Hadith, kaedah yang boleh digunakan ialah kaedah tarjih. Dan di dalam kaedah tarjih bentuk yang boleh digunakan ialah :

القول مقدم علي الفعل

Maksudnya : “Kata-kata diutamakan daripada perbuatan”.

Maka hadith (1) lebih diutamakan dari hadith (2). Wa Allahu cAlam.

2.2 Cara Unta Turun Untuk Duduk

Perbincangan kedua berkaitan hadith ini yang boleh dibincangkan, ialah Nabi saw melarang umatnya meniru atau menyamai unta ketika mana unta itu turun untuk duduk. Persoalannya, bagaimanakah cara unta turun untuk duduk? Adakah ia berkaitan dengan mendahulukan kedua-dua lutut sebelum kedua-dua tangan atau mendahulukan kedua-dua tangan sebelum kedua-dua lutut? Dan yang manakah yang lebih tepat dan rajih? Maka dibawakan perbahasan para ulama berkaitan hal ini.

Para ulama telah berselisih dalam keadaan turunnya unta ketika hendak sujud, antara perselisihan yang timbul ialah :

  1. Ketika unta turun untuk duduk, maka ia akan menurunkan tangannya (kaki hadapan) dahulu kemudian barulah ia akan menurunkan lututnya (kaki belakang). Begitu juga ketika unta itu naik untuk berdiri, ia akan menaikkan lututnya (kaki belakang) dahulu kemudian barulah tangannya (kaki depan). Pendapat ini merupakan pendapat daripada Ibn Qayyim al-Jauzi.[19]

Beliau berkata demikian kerana inilah maksud sebenar larangan Nabi supaya jangan menyerupai turunnya unta.[20] Selain itu, beliau menyatakan bahawa ketika unta turun untuk duduk, anggota pertama yang menyentuh tanah adalah tangannya (kaki depan).

Dan berkaitan hadith Abu Hurairah, beliau menyatakan bahawa hadith tersebut telah tertukar sebahagian periwayatannya.[21] Hal ini kerana beliau menemui satu hadith lain yang berbeza iaitu :

عن عبد الله بن سعيد ، عن جده ، عن أبى هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : (( إذا سجد احدكم فليبدأ بركبتيه قبل يديه ولا يبرك بروك الجمل )) .

Maksudnya : Daripada cAbdullah Bin Sacid, daripada datuknya, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi saw, beliau bersabda : “Apabila seseorang diantara kamu semua hendak sujud, maka mulakan dengan lututnya sebelum tangannya dan janganlah dia turun seperti seekor unta turun untuk duduk.[22]

(Riwayat al-Baihaqi)

Beliau juga menyatakan bahawa lutut unta terletak pada tangannya (kaki depan) merupakan kata-kata yang tidak diterima akal, dan tidak diketahui oleh ahli bahasa.[23] Justeru itu, beliau menyatakan bahawa mendahulukan lutut sebelum tangan ketika sujud lebih rajah.

  1. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa lutut unta terletak pada tangannya (kaki depan). Ia telah disebut oleh ahli sastera yang bernama al-Jahiz, beliau berkata : “Setiap haiwan yang berkaki empat maka lututnya terletak di tangannya dan lutut manusia terletak di kedua kakinya.”[24]

Al-Thahawi juga pernah berkata : “Lutut unta terletak di tangannya, begitu juga dengan semua haiwan kecuali anak Adam.” Al-Azhari juga berkata : “Lutut unta terdapat di tangannya dan kedua lutut unta ini merupakan dua sendi yang terletak selepas perut di saat unta sedang turun untuk duduk. Adapun dua sendi yang menonjol ke arah belakang adalah curqub (urat kaki).[25]

Di dalam Lisan al-Arab juga disebutkan : “Lutut seekor unta berada pada tangannya.” Ini semua menunjukkan bahawa lutut unta terletak pada tangannya dan apabila unta hendak turun untuk duduk, ia menurunkan lututnya terlebih dahulu kemudian ia meletakkan badan sehingga mengeluarkan suara.

Oleh kerana ketika solat perlu kepada kekhusyukan, maka meletakkan tangan dahulu akan menjadikan solat lebih tenang. Hal ini kerana jika turun dengan lutut dahulu, ia akan menghasilkan hentakkan, lebih-lebih lagi jika seseorang solat di tempat yang berkayu dan ramai, maka ia akan menghasilkan bunyi-bunyi yang akan mengganggu orang solat.[26]

Berkaitan dengan hadith yang dibawa oleh Ibn Qayyim pula, hadith tersebut terdapat seorang perawi yang bernama cAbdullah Bin Sacid. Beliau adalah al-Maqburi yang merupakan seorang perawi yang matruk. Sebahagian ulama menuduhnya dirinya sebagai dusta, bahkan boleh jadi beliau sengaja melakukan pendustaan, sehingga membalikkan lafaz hadith tersebut.[27]

Berkaitan dengan pendapat Ibn Qayyim yang menyatakan bahawa maksud larangan Nabi agar jangan menyerupai turunnya unta dengan menurunkan tangan dahulu pula, ia adalah satu pendapat yang keliru. Hal ini kerana yang dilarang adalah turun ke lantai dengan hentakkan dan ini terjadi apabila lutut diturunkan lebih dahulu seperti yang dilakukan unta. Berkaitan dengan lutut unta terletak di tangannya juga telah jelas di dalam kitab Lisan al-Arab, malah ia bukanlah seperti sangkaan Ibnu Qayyim yang menyangka bahawa hal ini tidak diketahui dalam bahasa arab. Kesemuanya ini telah dijawab oleh Syeikh Ahmad Shakir.[28]

3. KESIMPULAN

Daripada hadith-hadith yang telah dihuraikan di atas dengan melihat hujah-hujah dan pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh para alim ulama, maka saya lebih cenderung untuk menerima pendapat yang menyatakan bahawa cara turun ketika hendak sujud adalah didahulukan dengan tangan kemudian barulah lutut. Hal ini kerana cara turun sebegini sesuai dengan larangan yang Nabi saw sabdakan agar jangan menyerupai turunya unta ketika hendak duduk.

Akhir kata dari saya, sesungguhnya telah jelas dalil-dalil yang telah dibincangkan. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mentaatinya. Moga-moga kita semua terhindar daripada kesesatan, sepertimana firman Allah :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا (٣٦)

Maksudnya : “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

(Surah al-Ahzab : Ayat 36)

RUJUKAN

Ahmad Bin al-Husain Bin cAli al-Baihaqi. 1994M/1414H. Sunan al-Kubra. Pentahqiq Muhammad cAbd al-Qadir cAta. Juz. 2. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

Abu cIsa Muhammad Bin cIsa, al-Tirmizi. t.th. Sunan Abu Daud. Pentahqiq Muhammad Nasir al-Din, al-Albani. Riyadh: Maktabah al-Macarif lil Nashra wa al-Tauzic.

Abu cIsa Muhammad Bin cIsa, al-Tirmizi. 2002M/ 1422H. Sunan al-Tirmizi. Beirut: Dar Ibn Hazm.

Muhammad Bin Abu Bakr al-Zarci, Ibn Qayyim. 2002M/1423H. Zadu al-Macad. Pentahqiq Sucaib al-Arnaut, cAbd al-Qadir al-Arnaut. Jil. 1. Beirut : Muassasah al-Risalah.

Muhammad Bin Umar. 2007M. Ensiklopedia Tarjih : Masalah Thaharah dan Shalat. Terj. Ali Nur. Jakarta: Darus Sunnah Press.

Muhammad Nasir al-Din, al-Albani. 2010M/1431H. Ensiklopedia Sifat Solat Nabi. Terj. H. Abdullah Sani. Jil. 2. Puchong: Berlian Publications Sdn. Bhd.

Muhammad Shamsu al-Hayyi al-cAzim. 2001M/1422H. cAun al-Macbud Syarh Sunan Abi Daud. Jil. 2. Al-Qahirah: Dar al-Hadith.

Nur al-Din cItir. 1997M/1418H. Manhaj al-Naqdi fi cUlum al-Hadith. Damshiq: Dar al-Fikr.

Rifcat Fauzi cAbd al-Muttalib. 2008M/1429H. Al-Mudkhal ila Manahij al- Muhaddithin : al-Usus wa al-Tatbiq. Al-Qahirah: Dar al-Salam.

Sharaf al-Qadda’. 2007M/1428H. Al-Manahij al-Hadith fi cUlum al-Hadith. Kuala Lumpur: Prospecta Printers Sdn. Bhd.

Shihab al-Din Ahmad Bin cAli al-Shahir, Ibn Hajar. 2001M/1422H. Lisan al-Mizan. Pentahqiq Muhammad cAbd al-Rahman al-Murcishali. Jil. 8. Beirut: Dar Ihya' al-Turath al-cArabi.

Shihab al-Din Ahmad Bin cAli al-Shahir, Ibn Hajar. 2001M/1422H. Taqrib al-Tahzib. Pentahqiq Khalil Ma’mun Shiha. Juz. 2. Beirut: Dar al-Macrifah.

Sulaiman Bin al-Ashcath, Abu Daud. t.th. Sunan Abu Daud. Pentahqiq Muhammad Nasir al-Din, al-Albani. Riyadh: Maktabah al-Macarif lil Nashra wa al-Tauzic.

Sulaiman Bin al-Ashcath, Abu Daud. 1998M/ 1419H. Sunan Abu Daud. Beirut: Dar Ibn Hazm.

Sulaiman Bin al-Ashcath, Abu Daud. 1999M/ 1420H. Sunan Abu Daud. Pentahqiq cAbd al-Qadir cAbd al-Khair, Sayyid Muhammad Sayyid, Sayyid Ibrahim. Jil. 1. Al-Qahirah: Dar al-Hadith.



[1] Abu Daud, Bab bagaimana meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan, 1998M/ 1419H, no. 840, hlm. 135. Menurut al-Albani ianya sahih di dalam kitab Sunan Abu Daud, t.th, hlm. 134.

[2] Abu Daud, Bab bagaimana meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan, 1998M/ 1419H , no. 838, hlm. 135. Diriwayatkan juga oleh al-Tirmizi, Bab berkaitan meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan ketika sujud, no. 268, hlm. 106. Beliau menyatakan hadith ini Hasan Gharib kerana hadith ini diriwayatkan dengan hanya seorang perawi sahaja iaitu Sharik. Menurut al-Albani pula, hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi adalah Dacif di dalam kitab Sunan Abu Daud, t.th, hlm. 134. Dan kitab Sunan al-Tirmizi, t.th, hlm. 76.

[3] Abu Daud, Bab bagaimana meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan, 1998M/ 1419H, no. 840, hlm. 135.

[4] Al-Albani, 2010M/1431H, hlm. 261.

[5] Ibn Hajar, 2001M/1422H, hlm. 185.

[6] Al-Albani, 2010M/1431H, hlm. 261.

[7] Ialah hadith yang menyendiri dengannya hanya satu perawi sahaja. Rujuk Manhaj al-Naqdi fi cUlum al-Hadith, 1997M/1418H, hlm. 396.

[8] Muhammad Shamsu al-Hayyi al-cAzim, 2001M/1422H, hlm. 213.

[9] Ibid, 2001M/1422H, hlm. 213.

[10] Perawi hadith berjumpa secara jelas untuk mengambil hadith dengan perawi hadith yang lain iaitu duduk dan mendengar hadith serta melazimi perawi tersebut dalam tempoh yang lama. Rujuk Al-Mudkhal ila Manahij al-Muhaddithin :al-Usus wa al-Tatbiq, 2008M/1429H, hlm. 189.

[11] Al-Albani, 2010M/1431H, hlm. 262.

[12] Abu Daud, Bab bagaimana meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan, 1999M/1420H, no. 841, hlm. 373. Ianya sahih.

[13] Al-Albani, 2010M/1431H, hlm. 262.

[14] Al-Hakim, 2002M/1422H, hlm. 349.

[15] Mutasamih yakni longgar dalam periwayatan hadith.

[16] Merupakan darjat keempat dalam pembahagian Jarh wa Tacdil, hukumnya diterima, ada yang menerima dengan syarat seperti Ibn Hatim, dan ada yang menerima tanpa syarat seperti al-Albani. Rujuk al-Manahij al-Hadith fi cUlum al-Hadith, 2007M/1428H, hlm. 57.

[17] Ibn Hajar, 2001M/1422H, hlm. 389.

[18] Al-Albani, 2010M/1431H, hlm. 257.

[19] Ibn Qayyim, 2002M/1423H, hlm. 217.

[20] Ibid, hlm. 217.

[21] Ibid, hlm. 218.

[22] Al-Baihaqi, Bab sesiapa yang menyatakan meletakkan tangan sebelum lututnya, 1994M/1414H, no. 2635, hlm. 143-144. Ianya dacif menurut al-Albani.

[23] Ibn Qayyim, 2002M/1423H, hlm. 218.

[24] Muhammad Bin Umar, 2007M, hlm. 299.

[25] Ibid.

[26] Al-Albani, 2010M/1431H, hlm. 265.

[27] Al-Albani, 2010M/1431H, hlm. 263.

[28] Muhammad Bin Umar, 2007M, hlm. 300.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...