Wednesday, April 15, 2009

10 amalan yang terbalik..


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makankenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam.
Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."
(Riwayat Bukhari)

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda SAW ditolak oleh golongan-golongan Pembesar Quraisy. Mereka juga telah menawarkan tawaran yang begitu lumayan kepada Baginda SAW supaya tidak lagi meneruskan perjuangannya untuk menyampaikan kebenaran. Mereka begitu takut sekiranya pengaruh dan kepentingan mereka terhakis disebabkan kewujudan Islam yang bercanggah dengan amalan jahiliyyah mereka selama ini.

Selain itu, mereka juga mengancam keselamatan Nabi Muhammad SAW sekiranya Baginda masih meneruskan perjuangannya tersebut. Namun, ia langsung tidak dihiraukan oleh Baginda SAW kerana harta dunia akan lenyap, sedangkan agama itu akan terus hidup dan berkembang. Dakwah yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada pembesar Quraisy dengan pelbagai cara untuk memahamkan mereka.

Namun, apa yang terjadi ialah kedegilan mereka untuk menerima Islam. Mereka sudah pun memahami bahawa Nabi Muhammad SAW membawa satu kebenaran yang nyata dan jelas, namun mereka masih menolaknya kerana kedegilan mereka, dan kepentingan mereka. Mereka khuatir sekiranya mereka mengikut Nabi Muhammad SAW, segala kemewahan yang mereka miliki akan hilang, pangkat kebesaran mereka akan tercabut dan pengaruh mereka akan luput.

Begitulah apa yang terjadi hari ini, kebenaran itu sudah jelas nyata di hadapan mata. Tetapi Islam masih ditolak kerana kedegilan manusia hari ini, sama seperti pembesar-pembesar jahiliyyah ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka sudah pun tahu bahawa tindakan mereka adalah salah, namun, demi kepentingan, mereka sanggup untuk berpijak di atas kejahiliyyahan.

Demi menjaga kedudukan, mereka sanggup melakukan apa sahaja, tidak kira halal atau haram seperti rasuah, melanggar undang-undang, membuat kerosakan dan sebagainya. Begitu juga harta yang mereka sayangi. Mereka tidak sanggup kehilangan harta sekiranya mengikut kebenaran yang jelas ini. Mereka juga khuatir pengaruh mereka yang selama ini mereka bentuk di atas jalan yang bersifat kepentingan, akan hilang begitu sahaja kerana berada di jalan yang benar.

Sekiranya Nabi Muhammad SAW ditawarkan dengan kekayaan yang tiada bandingannya, hari ini pejuang-pejuang Islam yang mewarisi perjuangan Nabi SAW turut ditawarkan dengan jutaan ringgit sebagai rasuah, untuk menggagalkan misi perjuangan mereka. Maka, siapakah dia Abu Jahal dan Abu Lahab pada hari ini?

Golongan-golongan pembesar di zaman Nabi SAW berdegil untuk mempertahankan kedudukannya, walaupun kebenaran itu jelas nyata di hadapan mata mereka. Mereka mempertahankannya juga walaupun terpaksa melakukan apa sahaja, asalkan kepentingan yang mereka canang, berhasil.

Mereka juga sanggup menipu, merampas hak orang lain dan sebagainya, asalkan kedudukan mereka berkekalan. Atau dengan kata lain, asalkan duit masuk poket. Inilah apa yang terjadi hari ini. Siapakah yang menzalimi diri mereka kalau bukan diri mereka sendiri? Mereka sengaja berdegil daripada menerima kebenaran. Sengaja menutup telinga dan mata mereka daripada mendengar kebenaran yang sudah jelas nyata.

Salam Perjuangan,

1 comment:

  1. Assalamualaikum saudara faiz,
    Melalui blog saudara ini,sy dpt byk ilmu y sebelum ni krg sy ketahui,terima ksh..harapan sy smoga saudara memuatkan byk lg info2 keagamaan dlm usaha dakwah ini..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...