Tuesday, February 15, 2011

Tiga Kurun Terbaik


Oleh : Abu al-Harith Muhammad Faiz Fathi Bin Asmori


خير القرون قرن الرسول عليه السلام ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم تنتشر المفاسد

SEBAIK-BAIK KURUN ADALAH KURUN RASULULLAH 'ALAIHI SALAM, KEMUDIAN YANG MENGIKUTI SELEPAS MEREKA, KEMUDIAN YANG MENGIKUTI SELEPAS MEREKA, KEMUDIAN TERSEBARNYA KEROSAKAN.

أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي جَمْرَةَ سَمِعْتُ زَهْدَمَ بْنَ مُضَرِّبٍ سَمِعْتُ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ قَالَ عِمْرَانُ : فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ إِنَّ بَعْدَكُمْ قَوْمًا يَشْهَدُونَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُونَ وَيَخُونُونَ وَلاَ يُؤْتَمَنُونَ وَيَنْذُرُونَ وَلاَ يَفُونَ وَيَظْهَرُ فِيهِمْ السِّمَنُ[1]

Maksudnya :

Syu'bah telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Abu Jamrah, aku mendengar daripada Zahdam bin Mudarrib, aku mendengar daripada 'Imran bin Husain r.anhuma, dia berkata : “Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka.Imran berkata :”Aku tidak tahu samaada disebut selepas kurunnya dua kurun atau tiga kurun. Kemudian sesungguhnya selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji dan tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman.

(Riwayat al-Bukhari)

Manakala di dalam riwayat Muslim pula :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ[2]

Maksudnya :

Daripada Abdullah, beliau berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka, selepas itu akan datang satu kaum di mana penyaksian salah seorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya.

(Riwayat Muslim)

Hadith di atas merupakan sebuah hadith yang menceritakan tentang kelebihan para sahabat dan kelebihan dua generasi selepas mereka yang mengikuti mereka. Mereka merupakan umat manusia terbaik yang diperakui sendiri oleh Nabi Muhammad tentang kebaikan mereka. Dan kebaikan yang diperakui di dalam hadith tersebut merupakan kebaikan dari segi pegangan aqidah, kefahaman dan amalan agama mereka yang betul, dan bukan kebaikan dari segi perkara keduniaan yang berkaitan dengan kemewahan,kebendaan dan sebagainya.[3]

Menurut Ibn Hajar, umat terbaik pada kurun baginda ialah para sahabat, kemudian yang mengikuti mereka merupakan para tabi’ dan yang mengikuti para tabi ialah para tabi’ tabi’in.[4]

Kemudian, selepas baginda s.a.w menyebut berkaitan umat terbaik, lalu baginda menyebut pula kerosakkan-kerosakkan yang akan berlaku selepas tiga zaman tersebut, antaranya ialah :

Sebuah kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji dan tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman.

Manakala dalam hadith riwayat Muslim pula, Nabi s.a.w menyebut terdapat satu kaum yang mana penyaksian salah seorang daripada mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului penyaksiannya.

Pengajarannya :

  • Perakuan oleh Nabi s.a.w tentang kebaikan para sahabat, para tabi'in, dan tabi' tabi'in.
  • Perkhabaran dari Rasulullah tentang kerosakan umat selepas 3 kurun tersebut.
  • Hadith ini juga menunjukkan dalil sekiranya berlaku perpecahan, kembali merujuk kepada manhaj salaf. Sepertimana dalam hadith lain:

(( أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ )). [5]

Maksudnya :

Aku wasiatkan kepada kamu sekalian untuk bertaqwa kepada Allah dan sentiasa dengar dan taat walaupun yang memimpin kalian adalah seorang hamba habshi, maka sesungguhnya barangsiapa yang hidup dikalangan kamu sekalian selepasku nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak, maka ke atas kamu sekalian dengan sunnahku dan sunnah pemerintahan yang mendapat hidayah lagi bijaksana, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu semua, dan jauhilah perkara-perkara baru yang diada-adakan kerana sesungguhnya setiap perkara-perkara baru tersebut merupakan bid"ah, dan setiap yang bid"ah itu sesat.”

(Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dalam firman Allah s.w.t :

وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (100)[6]

Maksudnya :

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

  • Baginda menyebutkan bahawa selepas kurun tabi' tabi'in akan ada satu kaum yang mana mereka bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mengkhianati dan tidak dipercayai, dan mereka berjanji tetapi tidak ditepati. Sebagaimana juga yang disebut di dalam hadith lain :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّة[7]

Maksudnya :

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu-daya. Ketika itu golongan benar dikatakan pembohong dan golongan pembohong dikatakan benar. Orang yang khianat dipercayai dan orang-orang yang benar dikhianati dan para ruwaibidhah akan menjadi jurucakapnya”. Sahabat bertanya: Siapa itu ruwaibidhah? Sabda Baginda: “Orang yang bodoh dalam urusan orang-ramai

(Riwayat Ibn Majah)


[1] Al-Bukhari, 1417H/1997M, Jil. 3, (62)-Kitab Fadail al-Sahabah, Bab 1, no. 3650 hlm. 1123.

[2] Muslim, 1418H/1997M, Jil. 4, (44)-Kitab Fadail al-Sahabah, Bab 52, no. 210 (2533), hlm. 268.

[3] Dr. Azwira, t.th, hlm. 59.

[4] Ibn Hajar, 2006M, Jil. 18, hlm. 370-372.

[5] Abu Daud, 1419H/1998M, 34-Kitab al-Sunnah, 6-Bab fi Luzum al-Sunnah, no. 4607, hlm. 699. Menurut al-Albani hadith ini Sahih. Rujuk Sunan Abu Daud, t.th, hlm. 691.

[6] Al-Taubat 9: 100

[7] Ibn Majah, 1422H/2001M, Kitab al-Fitan, Bab Shiddatu al-Zaman, no. 4036. hlm. 611. Menurut al-Albani hadith ini Sahih. Rujuk Sunan Ibn Majah, t.th, no. 4036. hlm. 667.

1 comment:

  1. Assalamualaikum wrt. wbt.

    Sedikit pertanyaan, siapakah Dr.Azwira (yang dirujuk) dan apakah tajuk bukunya? Tidakkah pernyataannya menunjukkan pengasingan antara Islam dan dunia? Bukankah para sahabat telah menunjukkan sifat ilmuan, kesungguhan dalam menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu? Mereka juga telah menunjukkan akhlak yang mulia dan cara perniagaan yang menurut Islam di mana-mana sahaja mereka pergi walaupun ke negara China? Sehingga ke hari ini terdapat ramai umat Islam di China. Pada pendapat saya tiada pengasingan antara Islam dan dunia dalam diri sahabat kerana pada setiap masa dan keadaan mereka beranggapan detik tersebut akan memberi kesan kepada kehidupan mereka di akhirat nanti.

    Apa-apa pun, post anda harus dipuji kerana ia satu kajian yang bermanfaat dan membantu dalam kajian saya. Tidak banyak blogger yang suka menulis rujukan (footnote) dalam post mereka seperti anda. Teruskan usaha saudara dan sekali lagi, jazaka Allah.

    Salam

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...