Sunday, December 20, 2009

Al-Qaradawi: Tokoh Tajdid

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Kedatangan Dr Yusuf al-Qaradawi ke Malaysia amat dialu-alukan. Walaupun saya tidak sempat mengikuti ucapan beliau pagi semalam yang khabarnya berkaitan buku terbarunya Fiqh al-Jihad, tetapi saya telah pun membeli buku tersebut sejak dua bulan lepas. Buku tersebut merupakan karya terbesar beliau selepas Fiqh al-Zakah.

Saya antara pengkagum Dr Yusuf al-Qaradawi. Bukan kerana namanya, tetapi kerana kesarjanaannya. Buku-bukunya mempunyai nilai analisis dan kebebasan akal dari sebarang fanatik mazhab. Beliau adalah tokoh tajdid yang menyeru kepada keluasan fekah dan kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh kepada penilaian setiap pendapat dengan adil berteraskan al-Quran dan a-Sunnah.

Dalam buku terbarunya itu beliau menyebut tentang kaedah dalam penulisannya:

“Mengambil manfaat dari khazanah fekah islami dan mengiktiraf lautannya yang luas dengan tidak cenderung kepada hanya satu mazhab tanpa melihat mazhab yang lain, atau terikat dengan satu imam tanpa melihat imam yang lain.

Bahkan kita menganggap peninggalan besar ini (khazanah fekah) milik setiap pengkaji untuk dia menyelami dasarnya, membongkar simpanannya, menggali setiap penjurunya, membandingkan antara satu pendapat dengan pendapat yang lain, satu dalil dengan dalil yang lain tanpa taksub kepada satu pandangan atau taklid berterusan kepada satu mazhab.

Bahkan kadang-kala kita mengambil pendapat Abu Hanifah, kemudian pendapat Malik, kemudian pendapat Syafii, kemudian pendapat Ahmad, kemudian pendapat Daud (maksudnya Daud al-Zahiri-pen). Bahkan mungkin dalam beberapa perkara kecil kita keluar dari mazhab sunni kepada mazhab Zaidiyyah, ataupun Ja’fariyyah ataupun Ibadiyyah jika kita dapati penyelesaian masalah dalamnya.

Mungkin juga kita akan mengambil sebahagian pendapat mazhab yang hilang seperti Mazhab al-Auza’i, Mazhab al-Thauri dan Mazhab al-Tabari. Bahkan kita kadang kala akan keluar dari kesemua mazhab itu pergi ke dataran luas fekah para sahabat Nabi s.a.w, tabi’iin, dan atba’ al-tabi’in yang mana mereka ini tiada mempunyai sebarang mazhab yang diikuti. Mereka seperti al-Khulafa al-Rasyidin, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, ‘Aishah, Mu’adz, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan para sahabat r.ahum yang lain.

Demikian juga murid-murid mereka seperti mereka yang dikenali sebagai fuqaha (ahli fekah) yang tujuh di Madinah, juga selain mereka di Mekah, Kufah, Basrah, Mesir, Syam dan wilayah-wilayah yang lain yang para sahabah dan murid-murid mereka bertebaran. Antaranya; Sa’id bin al-Musayyib, Sa’id bin Jubair, ‘Ikrimah, Mujahid, Ata`, Tawus, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, ‘Alqamah, al-Aswad, Masruq, al-Nakha’i, al-Laith bin Sa’d dan selain mereka…” (Fiqh al-Jihad, 1/24, Kaherah: Maktab Wahbah).

Saya fikir jika ada orang yang ingin berpegang dengan keluasan mazhab atau intelektualisma yang seperti itu di Malaysia tentu akan ada yang menuduh ini puak ‘derhaka mazhab’, tidak beradab dengan jasa orang-orang lama kita, keluar mazhab Syafi’i, rasa terlalu pandai dan berbagai lagi. Bahkan lebih trajik; wahabi dan sesat.

Sebab itulah barangkali pandangan-pandangan agama kita membeku dan generasi baru tidak dapat melihat keluasan Islam akibat kesempitan jendela fikir kita. Kita kononnya ini menghormati khazanah agama di Tanah Melayu sehingga kita melarang orang lain meneliti pandangan luar mazhab, padahal kita lupa tindakan seperti itu menyebabkan kita menyisihkan sekian banyak khazanah kesarjanaan dari berbagai-bagai aliran pemikiran dalam umat ini. Bukan salah bermazhab, tetapi salahnya itu fanatik mazhab sehingga menganggap setiap yang luar itu salah dan enggan menilai lagi pendapat yang dipakai hanya kerana ‘ini mazhab kita!!’.

Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi ketika memperkatakan tentang Manhaj Mu’asir li al-Fatwa (Kaedah Semasa Dalam Fatwa) menyebut perkara pertama adalah “Membebaskan diri dari fanatik dan taklid”. Beliau menyebut:

Pertama, membebaskan diri dari fanatik mazhab dan mengikut secara buta tuli kepada si fulan dan si fulan, samada dia dalam kalangan ulama terdahulu atau kemudian“. Dikatakan “ tidak bertaklid itu melainkan seorang fanatik atau dungu”.

Aku tidak rela untuk diriku salah satu dari sifat tersebut. Membebaskan diri dari fanatik mazhab itulah sebenarnya merupakan penghormatan yang sepenuhnya kepada para imam dan fakih (ahli fekah). Tidak bertaklid kepada mereka bukanlah merendahkan kedudukan mereka, sebaliknya itulah yang menepati jalan mereka, juga melaksanakan wasiat mereka agar tidak bertaklid kepada mereka.

Kita mengambil agama dari sumber yang mereka ambil (al-Quran dan al-Sunnah). Juga tidak bertalkid kepada mereka bukanlah bererti mengabaikan fekah dan warisan mereka. Sebaliknya, sewajarnya merujuk dan mengambil faedah daripadanya, dari pelbagai aliran tanpa berat sebelah ataupun fanatik. Pendirian seperti ini tidak mensyaratkan seorang sarjana muslim yang berdikari kefahamannya itu mesti sampai ke peringkat ijtihad mutlak seperti para imam yang terdahulu.” ( al-Qaradawi, al-Fatwa bain al-Indibad wa al-Tasaiyub, m.s 101, Beirut: al-Maktab al-Islami).

Ungkapan kemerdekaan ilmu dan kebebasan diri dari kongkongan taksub amat dimusuhi oleh sesetengah pihak. Oleh kerana sejak sekian lama mereka dipayung oleh rasa fanatik lalu mereka tidak akan bertanya atau mempersoalkan lagi apa yang dilontarkan oleh guru mereka sehingga pemikiran agama menjadi longlai dan dihakiskan oleh cabaran zaman.

Namun kelompok agama ini tetap ingin mewarisi takhta ‘empayar agama’ yang tokoh-tokohnya tidak boleh dipersoal, atau pandangan mereka dibincang semula, maka mereka pun mengeluarkan fatwa ‘siapa keluar mazhab dia sesat’, atau ‘siapa banyak tanya atau mengkritik pandangan kita atau kebiasaan kita dia biadap’, bahkan siapa yang cuba memahami Islam di luar dari yang kita terangkan maka ‘dia sesat dan terkeluar dari Ahlus Sunnah’.

Seakan bagi mereka ini para sarjana Islam dari mazhab-mazhab yang lain kesemuanya sesat dan bukan Ahlus Sunnah sehingga kita dilarang memahami dan berpegang dengan kajian mereka! Hal ini bertambah buruk apabila aliran tarekat turut berkembang dalam negara kita kebelakangan ini. Ramai dalam kalangan tarekat yang memegang tradisi ‘jangan tanya, ikut saja’ amat marah melihat gerakan pembaharuan yang meminta agar fungsi akal dihidupkan dalam mengikuti agama ini. Islam adalah agama fitrah dan waras. Akal mempunyai kedudukan yang penting dalam Islam sehingga orang gila atau belum sempurna akalnya tidak diletakkan atas neraca dosa dan pahala.

Ibn Taimiyyah

Walaupun al-Qaradawi tidak fanatik kepada mana-mana tokoh, namun ini bukan bererti tiada tokoh kesayangan atau tokoh yang beliau kagumi. Dr al-Qaradawi pernah menyebut

Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, m.s. 170, Mesir: Dar al-Wafa).

Hampir kesemua buku-buku Dr al-Qaradawi dipenuhi nukilan dari Syeikhul Islam Taimiyyah (meninggal 728H) dan muridnya al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H). Ini kerana dua tokoh agung ini terkenal dengan usaha tajdid membangunkan semula umat dan membebaskan mereka dari daerah fanatik, jumud dan ‘malas berfikir’.

Kata al-Qaradawi dalam al-Thaqafah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah:

“Ibn Taimiyyah dan institusinya adalah salafis. Mereka itu benar-benar tokoh tajdid (revival). Tiada seorang pun yang cuba menafikan pemikiran tajdid mereka, melainkan dia seorang yang keras kepala.” (m.s 59, Kaherah: Maktab Wahbah).

Golongan fanatik mazhab seperti Ahbash membantah beliau kerana suka merujuk kepada Ibn Taimiyyah. Kata al-Qaradawi: “Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, kerana seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”.

Di Malaysia, kelompok anti-Ibn Taimiyyah bersarang di sesetengah pondok, jabatan agama dan beberapa institusi yang lain. Ada yang keluar dalam TV dan akhbar menyesatkan Ibn Taimiyyah, bahkan mengkafirkannya. Jika mereka baca karya al-Qaradawi tentu tuduhan yang sama akan dikenakan kepada beliau.

Maka al-Qaradawi juga tidak terlepas dari berbagai tohmahan. Beliau pernah dituduh sebagai liberalis, wahabis dan berbagai lagi. Tuduhan itu datang dari berbagai, samada kelompok fanatik mazhab, fanatik tarekat, juga yang aliran salafi jalur keras yang jumud. Bahkan ada buku yang melebelnya sebagai ‘anjing yang menyalak’.

Dalam masa yang sama Barat juga melancarkan permusuhan dengan beliau. Ini kerana beliau bekerja untuk Islam, menulis, berceramah dan merancang. Sebelum al-Qaradawi menjadi ‘gergasi’ dengan nama yang besar seperti sekarang, beliau juga pernah memasuki penjara. Bahkan ketika ini pun ada negeri yang tidak membenarkan beliau masuk. Demikian hari-hari yang mesti dilalui dalam melakukan agenda dakwah dan pembaharuan. Seorang tokoh itu tetap tokoh dan akan ada yang membelanya.

Thursday, November 5, 2009

Wahabi: Istilah Yang Ditakuti!

Antara ketakutan dalam diri manusia adalah apabila dia diberikan suatu gelaran yang membawa maksud yang buruk dalam masyarakat, ‘Wahabi’ merupakan contoh gelaran yang ditakuti apabila seseorang itu berada di dalam lapangan agama. Masyarakat Islam di Malaysia secara umumnya memahami istilah Wahabi ini merujuk kepada seg...elintir golongan umat Islam yang mempunyai tafsiran dan pemahaman yang berbeza mengenai soal ibadat. Contohnya, apabila seseorang itu tidak membaca doa Qunut ketika solat subuh, maka dia akan dituduh sebagai penganut fahaman Wahabi. Begitu juga jika seseorang itu menolak mengadakan majlis kenduri arwah, maka dia juga akan dituduh sebagai Wahabi. Secara ringkasnya, apa sahaja pandangan atau pendapat yang melawan arus pemikiran perdana umat islam di Malaysia, maka berkemungkinan besar si pembawa idea atau pendapat itu akan digelarkan sebagai Wahabi. Persepsi ini merupakan satu stigma pemikiran yang yang telah lama mendominasi pemikiran tradisionalis umat Islam di Malaysia. Penulisan ringkas ini tidak menjuruskan benar atau salah fahaman ini, namun sekadar santapan ringkas agar ilmu dan pemahaman dapat diluaskan. Gelaran Wahabi sebenarnya disandarkan kepada seorang tokoh agama yang bernama Muhammad Ibn Abdul Wahab. Di zamannya, Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab merupakan seorang yang tegas dalam membersihkan akidah umat islam yang mana ketika itu dicemari dengan pelbagai unsur-unsur inovasi dalam agama seperti pemujaan kubur alim ulama’ dan pembinaan di atas kuburan. Kebanyakan tanggapan mendakwa fahaman ini mendukung idea dan perjuangan Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab dalam membersihkan akidah umat Islam. Sewajarnya, jika gelaran wahabi ingin disandarkan kepada Sheikh ini, ia sepatutnya menggunakan gelaran ‘Muhammadiyyah’. Namun musuh-musuh Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab sengaja menggunakan istilah Wahabi untuk mengaitkan diri Sheikh itu dengan fahaman Khawarij yang mendakwa orang Islam sebagai murtad jika melakukan dosa. Namun hal ini telah dinafikan olehnya dalam surat yang ditulis kepada penduduk Qassim, ‘saya tidak pandang mana-mana orang Islam sebagai kafir kerana dosa mereka, dan saya juga tidak mengeluarkannya dari agama Islam.’ (ruj: Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life & The Essence of His Call, Prof Sulaiman Ibn Abdurrahman Al-Huqaily, edisi terjemahan oleh Hamidun Abdullah untuk Institute As-Sunnah, Perlis) Sebenarnya, terdapat banyak tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada tokoh ini sehingga menjadikan gelaran Wahabi sebagai satu istilah yang ditakuti, namun kebanyakkan tuduhan itu telah pun dijawab dengan ilmiah. Walaupun berlaku banyak fitnah terhadap dirinya, namun sumbangan besarnya dalam bidang akidah tetap dihargai oleh ramai ulama’ dunia seperti Dr Yusuf Al-Qardhawi, Sayyid Muhammad Rashid Ridha, Sheikh Ali Tantawi dan lain-lain ulama’ besar dunia. Memetik kata-kata Al-Qardhawi ‘Prioritas dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mempraktekkannya dalam rangka menghancurkan berbagai fenomena kemusyrikan.’ (ruj: Fiqh Aulawiyyat, Dr Yusuf Al-Qardhawi) Realiti yang berlaku di dunia Islam, kebanyakkan pemikiran tradisionalis menganggap fahaman Wahabi ini sebagai unsur yang menyimpang di dalam Islam. Dukacita juga sebahagian dari mereka meletakkan fahaman ini sebagai terkeluar daripada Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Majoriti yang menjadi pemikir seperti ini hanyalah merupakan mangsa kepada keadaan yang telah membutakan mereka kepada kefahaman yang rigid. Mereka menganggap, apa sahaja yang bercanggah dengan nilai mazhab Syafie mengikut kefahaman mereka, nilai itu akan dianggap sebagai tertolak walaupun ia masih berlegar dalam ruang ASWJ. Oleh itu, sebarang usaha tajdid untuk memberikan satu sudut pandang yang berbeza terhadap Islam, maka kadangkala ia akan ditolak secara mentah dengan beralasan pandangan itu sebagai pegangan fahaman Wahabi. Al-Qardhawi mengulas mengenai isu takut kepada usaha tajdid, katanya ‘Inilah satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak senang pada pembaharuan (tajdid), tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak menyenangi perkembangan dan perubahan.’ (ruj: Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa kini, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi) Di Malaysia, golongan yang mendukung fahaman Wahabi ini lebih gemar jika ia digelarkan sebagai Salafi, Pro-tajdid atau pendukung Sunnah. Mereka ingin membawa satu kaca mata yang lebih besar terhadap fahaman ini dengan menekankan pemahaman Islam menurut manhaj para Salaf. Al-Salaf memiliki erti orang-orang yang mendahului dari bapak-bapakmu dan kaum kerabatmu yang mereka di atasmu dalam hal usia dan keutamaan..... Rasulullah, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka adalah salaful ummah (pendahulu ummat), dan siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka juga salaful ummah. Serta siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka mereka berada si atas manhaj as-Salaf ash-Sholih. (ruj: Studi Ringkas Tentang Manhaj Salaf, Sheikh Abdul Qadir Al-Arna’uth) Manhaj ini menurut mereka tidak membataskan pemikiran dengan lingkungan mazhab semata, tetapi keluasan pemikiran berpandungan Quran dan As-Sunnah yang soheh. Oleh sebab itu, masyarakat Islam tradisionalis menganggap mereka sebagai bermasalah apabila ada ibadah atau adat yang ditentang oleh pendukung fahaman ini kerana menurut mereka tidak menurut syariat Islam yang sebenar. Hal ini telah menyebabkan berlakulah pertempuran yang berlarutan sekian lama yang mungkin dikenali di Malaysia sebagai ‘kaum muda vs kaum tua’. Namun begitu, fahaman Salafi di Malaysia masih boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan menurut pengamatan Ustaz Zaharuddin. Kumpulan pertama ialah yang ekstrem lagi keras dan tegas, kedua pula yang Sederhana (moderate), manakala Ketiga iaitu yang lebih lembut dan toleran (Mild). (ruj: Ulasan, Komentar & Cadangan Berkenaan Kursus Latihan ESQ 165, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman) Mungkin pendekatan kumpulan pertama iaitu yang bersifat sedikit keras dan ekstrem telah menimbulkan rasa kurang senang dan terkejut masyarakat Islam di Malaysia yang mana rata-rata pemahamannya mengenai ilmu Islam hanyalah pada peringkat asas. Pendekatan bagi kumpulan dua dan tiga kelihatan agak berjaya apabila dapat mempengaruhi sebahagian besar golongan pelajar di universiti dan pekerja profesional. Perkembangan aliran Salaf ini mendapat tentangan agak hebat daripada golongan yang memegang kuasa agama apabila terdapat beberapa tokoh yang didakwa mendukung fahaman Wahabi dilarang memberikan ceramah dibeberapa buah negeri. Terdapat juga pelbagai forum yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu yang mana bertujuan menerangkan tentang bahaya pemikiran Wahabi yang semakin menular di dalam Malaysia. Isu wahabi sebenarnya merupakan masalah persepsi umat Islam yang mana telah digambarkan dengan pelbagai fakta yang dangkal dan tidak benar mengenai fahaman ini. Umat islam di Malaysia perlu diberikan ruang kepada pemikiran yang lebih luas terhadap Islam. Jika suatu pemikiran itu dangkal dan tidak benar, secara automatis pemikiran itu akan berkubur dan tidak mendapat tempat. Masyarakat Islam semakin bijak dalam penilaian, berikan mereka ruang untuk menilai setiap hujah dan fakta mengenai agamanya. Perkara yang terpenting dalam hal ini, kita sewajarnya tidak sesekali mengeluarkan mereka daripada keluarga Islam ASWJ. ‘Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah. Mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama seperti sebahagian mereka.....’ (ruj: Isu Wahabiyyah: Menangani Secara Realiti, Jurnal Penyelidikan Islam bil 19 2006M, Mohd Aizam bin Mas’od, JAKIM) Oleh: Ajim http://www.ajimtajdid.blogspot.com

Wednesday, April 15, 2009

10 amalan yang terbalik..


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makankenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam.
Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."
(Riwayat Bukhari)

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda SAW ditolak oleh golongan-golongan Pembesar Quraisy. Mereka juga telah menawarkan tawaran yang begitu lumayan kepada Baginda SAW supaya tidak lagi meneruskan perjuangannya untuk menyampaikan kebenaran. Mereka begitu takut sekiranya pengaruh dan kepentingan mereka terhakis disebabkan kewujudan Islam yang bercanggah dengan amalan jahiliyyah mereka selama ini.

Selain itu, mereka juga mengancam keselamatan Nabi Muhammad SAW sekiranya Baginda masih meneruskan perjuangannya tersebut. Namun, ia langsung tidak dihiraukan oleh Baginda SAW kerana harta dunia akan lenyap, sedangkan agama itu akan terus hidup dan berkembang. Dakwah yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada pembesar Quraisy dengan pelbagai cara untuk memahamkan mereka.

Namun, apa yang terjadi ialah kedegilan mereka untuk menerima Islam. Mereka sudah pun memahami bahawa Nabi Muhammad SAW membawa satu kebenaran yang nyata dan jelas, namun mereka masih menolaknya kerana kedegilan mereka, dan kepentingan mereka. Mereka khuatir sekiranya mereka mengikut Nabi Muhammad SAW, segala kemewahan yang mereka miliki akan hilang, pangkat kebesaran mereka akan tercabut dan pengaruh mereka akan luput.

Begitulah apa yang terjadi hari ini, kebenaran itu sudah jelas nyata di hadapan mata. Tetapi Islam masih ditolak kerana kedegilan manusia hari ini, sama seperti pembesar-pembesar jahiliyyah ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka sudah pun tahu bahawa tindakan mereka adalah salah, namun, demi kepentingan, mereka sanggup untuk berpijak di atas kejahiliyyahan.

Demi menjaga kedudukan, mereka sanggup melakukan apa sahaja, tidak kira halal atau haram seperti rasuah, melanggar undang-undang, membuat kerosakan dan sebagainya. Begitu juga harta yang mereka sayangi. Mereka tidak sanggup kehilangan harta sekiranya mengikut kebenaran yang jelas ini. Mereka juga khuatir pengaruh mereka yang selama ini mereka bentuk di atas jalan yang bersifat kepentingan, akan hilang begitu sahaja kerana berada di jalan yang benar.

Sekiranya Nabi Muhammad SAW ditawarkan dengan kekayaan yang tiada bandingannya, hari ini pejuang-pejuang Islam yang mewarisi perjuangan Nabi SAW turut ditawarkan dengan jutaan ringgit sebagai rasuah, untuk menggagalkan misi perjuangan mereka. Maka, siapakah dia Abu Jahal dan Abu Lahab pada hari ini?

Golongan-golongan pembesar di zaman Nabi SAW berdegil untuk mempertahankan kedudukannya, walaupun kebenaran itu jelas nyata di hadapan mata mereka. Mereka mempertahankannya juga walaupun terpaksa melakukan apa sahaja, asalkan kepentingan yang mereka canang, berhasil.

Mereka juga sanggup menipu, merampas hak orang lain dan sebagainya, asalkan kedudukan mereka berkekalan. Atau dengan kata lain, asalkan duit masuk poket. Inilah apa yang terjadi hari ini. Siapakah yang menzalimi diri mereka kalau bukan diri mereka sendiri? Mereka sengaja berdegil daripada menerima kebenaran. Sengaja menutup telinga dan mata mereka daripada mendengar kebenaran yang sudah jelas nyata.

Salam Perjuangan,

Maulid: antara sejarah dan amalan by DR MAZA

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.
Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.
Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.
Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.
Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).
Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:
“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).
Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.
Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:
“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:
“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.
Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:
“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...